Memperkasa perniagaan, pengguna melalui rangka kerja standard, akreditasi kukuh





Oleh : Aimi Sani / Foto: Dk. Nur Hafilah Pg. Osman







BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 14 Oktober. - Negara Brunei Darussalam (NBD) melalui Pusat Standard dan Akreditasi Brunei Darussalam (PSABD), Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), telah memperingati Hari Standard Sedunia 2025, bertempat di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) dengan tema global 'Shared Vision for a Better World'.


Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan majlis berkenaan, Setiausaha Tetap (Ekonomi, Perdagangan dan Perindustrian) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr. Hajah May Fa'ezah binti Haji Ahmad Ariffin, selaku Pengerusi Majlis Standard dan Akreditasi Brunei Darussalam (MSABD).


Semasa majlis perasmian berkenaan, beliau turut melancarkan logo baharu MSABD dan PSABD yang melambangkan komitmen NBD dalam membina identiti kebangsaan yang diyakini dalam bidang standard, akreditasi dan inovasi.


Terdahulu, Pemangku Pengarah PSABD, Dayangku Hajah Nadiah Annasyitah binti Pengiran Dato Paduka Haji Abu Bakar dalam ucapan alu-aluannya antara lain menekankan bahawa standard merupakan asas yang tidak kelihatan tetapi amat penting dalam membentuk kepercayaan, kualiti dan keselamatan, yang menjadi tunjang kepada aspirasi NBD di bawah Wawasan Brunei 2035 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.


Beliau turut mengongsikan bahawa NBD giat membangunkan piawaian kebangsaan yang dikenali sebagai Piawai Brunei Darussalam (PBD) dan setakat ini, pelbagai PBD telah dibangunkan merangkumi bidang keselamatan makanan, pertanian, pembuatan dan pembungkusan, bagi menyokong industri tempatan, melindungi pengguna serta memastikan produk tempatan berdaya saing di peringkat global.


Sesi seminar di sebelah pagi yang bertemakan 'Exploring the Benefits of Standards and its Contribution to Sustainable Development Goals', telah pun menampilkan beberapa penceramah dari PSABD, Jabatan Standard Malaysia (JSM), Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) serta Autoriti Makanan Brunei Darussalam (Brunei Darussalam Food Authority - BDFA).


Dalam sesi berkenaan, para agensi berkongsi pandangan mengenai pembangunan PBD, pengalaman Malaysia dalam memanfaatkan piawaian untuk perdagangan, serta kepentingan piawaian keselamatan dan makanan dalam melindungi kesihatan awam dan alam sekitar, di samping sumbangan usaha-usaha berkenaan terhadap pencapaian SDGs.


Sementara itu, forum di sebelah petang pula bertemakan 'Standards Driving MSMEs : Building Stronger Businesses for Wawasan 2035' dihadiri oleh tetamu kehormat majlis, Timbalan Setiausaha Tetap (Perdagangan dan Industri), MOFE, Awang Mohammad Harris bin Brigadier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim, selaku Timbalan Pengerusi MSABD.


Sesi berkenaan dikendalikan oleh Penolong Pengarah Bahagian Pematuhan dan Antarabangsa di SHENA, Dayang Nadiah Hanim binti Haji Md. Salleh.


Forum berkenaan menampilkan ahli panel dari PSABD, Dewan Perniagaan dan Perindustrian NBD (NCCIBD), Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB), serta wakil daripada syarikat tempatan, iaitu SPHI Foods (Satay Haji Ibrahim) dan Serikandi Group of Companies. Para panel telah berkongsi pengalaman, cabaran dan manfaat dalam mematuhi standard antarabangsa.


Forum diakhiri dengan seruan kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk mengamalkan standard sebagai peluang ke arah pertumbuhan dan ketahanan perniagaan.


Peringatan Hari Standard Sedunia 2025 berkenaan sekali lagi menegaskan tumpuan strategic PSABD dalam memperkasa perniagaan dan melindungi pengguna melalui rangka kerja standard dan akreditasi yang kukuh, sebagai langkah penting ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035.


Close